BM | EN | 中文

Pujukan tok batin lembutkan hati orang asli terima vaksin

Pujukan-tok-batin-lembutkan-hati-orang-asli-terima-vaksin.png
Advertisement

ALOR GAJAH, 6 JUL: Pujukan dan nasihat tanpa jemu oleh tok batin tentang kepentingan vaksin Covid-19 akhirnya berjaya melembutkan hati 314 penduduk perkampungan orang asli Bukit Payung untuk menerima vaksinasi hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, kejayaan itu sekali gus membantu kementeriannya mencapai sasaran untuk memberikan vaksin kepada 144,180 orang asli daripada 853 perkampungan orang asli di seluruh negara.

“Peranan tok batin di perkampungan orang asli dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di seluruh negara, terbukti telah dapat meningkatkan kesedaran golongan itu dalam soal penerimaan vaksin, jadi usaha ini akan diteruskan melalui 624 tok batin di seluruh negara.

Advertisement

“Setakat ini seramai 9,163 individu daripada masyarakat itu telah mendapat dos pertama manakala 1,882 lagi selesai kedua-dua suntikan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) di Balai Raya perkampungan orang asli Bukit Payung, di sini pada Selasa.

Beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai lebih awal dengan gandingan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Jakoa dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Henry berkata, dengan adanya PPVB MARALiner iaitu bas ketiga selepas di PPV Kampung Bawong, Sungai Siput, Perak dan PPV Tanah Abang, Mersing, Johor akan mempermudah dan mempercepatkan lagi proses pemvaksinan dalam kalangan orang asli.

Advertisement

Dalam pada itu, Tok Batin perkampungan orang asli Bukit Payung Nur, Isjemei Ismail berkata, takut pada jarum dan kesan sampingan selepas divaksin menjadi antara penyebab ramai orang asli di kampung itu menolak untuk menerima suntikan pada mulanya.

“Pada awalnya memang separuh daripada penduduk menolak, tetapi apabila saya sendiri disuntik dan bertemu orang kampung serta terangkan pada mereka, mereka mula percaya dan mahu terima vaksin,” katanya yang merupakan antara penerima vaksin terawal di kampung tersebut iaitu pada 25 Jun lepas.

Beliau berkata, kini hanya tinggal lima peratus penduduk orang asli daripada suku kaum Temuan di kampung itu yang masih enggan menerima vaksin berbanding lebih 50 peratus sebelum ini.

Advertisement

Di Melaka, terdapat 2,053 orang asli dengan majoritinya daripada suku kaum Temuan yang menetap di 14 kampung iaitu lapan kampung di Alor Gajah dan enam lagi kampung di Jasin.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top