BM | EN | 中文

PTD Johor Bahru, JAS perlu proaktif tangani kebakaran pusat pembuangan sampah

dzulkefly-ahmad-1.jpg

JOHOR BAHRU, 6 SEPT: Jabatan Alam Sekitar dan Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru digesa lebih proaktif dalam menangani kebakaran terutamanya di pusat pelupusan sampah haram.

Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua jabatan itu mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan dan boleh bertindak dalam melakukan pemantauan kerap kepada lokasi yang biasa dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

“Ini kerana tapak pembuangan sampah haram ini boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan juga mengganggu kesihatan dan keselamatan penduduk di kawasan sekitar tapak tersebut,” katanya.

Dzulkefly difahamkan, pentadbir tanah Johor Bahru memiliki maklumat mengenai tapak pembuangan sampah haram adalah milik individu namun pemiliknya tidak dapat dikesan hingga kini.

“Pejabat tanah Johor Bahru akan mengeluarkan Borang 7A di bawah seksyen 128 Kanun Tanah Negara (KTN) sebagai peringatan kepada tuan tanah untuk memulihkan kembali keadaan asal tanahnya.

“Jika tuan tanah terus ingkar tindakan perampasan tanah boleh dilakukan sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 130 KTN,” katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor turut menyatakan terdapat beberapa lagi lokasi tempat pembuangan sampah haram yang baharu di kawasan sekitar Dun beliau.

“Saya menyeru kepada semua penduduk di kawasan sekitar Dun Kota Iskandar supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD) sekiranya terdapat maklumat tentang tapak pembuangan sampah haram di kawasan mereka.

Terdahulu, Dzulkefly membuat lawatan ke lokasi kebakaran kawasan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah yang mengambil masa 10 hari untuk dipadamkan.

Katanya, proses pemadaman terpaksa berhadapan situasi timbunan sampah dengan keadaan tanah jenis gambut yang memudahkannya terbakar.

Jentera penggali telah digunakan bagi membongkar timbunan sampah selain semburan air bagi memadamkan kebakaran bagi mengelakkannya merebak ke kawasan yang berdekatan.

Beliau dalam pada itu turut menyampaikan penghargaan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri yang mengetuai operasi pemadaman api yang turut dibantu jentera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top