JOHOR BAHRU, 7 OGOS: Projek ternakan kupang yang dijalankan pihak Petronas bersama Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) khusus untuk nelayan Orang Asli Seletar di Masai, di sini, disasarkan untuk memberi pendapatan tambahan RM200 sebulan kepada golongan terbabit.
Ketua Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn Bhd, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata projek selama tiga tahun di bawah Program Pemulihan Mata Pencarian’ itu dijalankan dengan peruntukan RM1.5 juta.
Ia juga akan dilaksanakan dalam dua fasa, melibatkan keseluruhan 100 nelayan Orang Asli Seletar dari lima buah kampung.
Kampung-kampung tersebut itu adalah Kampung Pasir Salam di Ulu Tiram; Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Jawa dan Kampung Teluk Kabong di kawasan Pasir Gudang.
Katanya bagi fasa pertama, pihaknya akan menyediakan sebanyak 30,000 ‘tali perangkap kecil’ kecil kepada nelayan untuk menternak kupang manakala pada fasa seterusnya 20,000 tali perangkap lagi akan disediakan.
“Untuk fasa pertama, kita telah memasang tiga tali besar perangkap kupang (yang bersamaan 3,000 tali perangkap kecil) di Kampung Kuala Masai pada Mac lepas. Baki selebihnya akan dipasang secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini, sebelum disambungkan dengan fasa kedua yang bermula dari hujung tahun hingga awal tahun depan,” katanya dalam sidang media program itu di sini, semalam.
Anita Azrina berkata pihaknya optimis projek akan dapat memberi manfaat dalam masa terdekat memandangkan hasil tuaian pertama adalah pada September atau Oktober tahun ini.
“Selalunya tempoh matang bagi ternakan kupang adalah antara lima sehingga enam bulan tetapi oleh kerana kita telah memasang tiga tali besar perangkap pada Mac lepas maka hasil tuaiannya sudah tentu dapat dilihat pada September atau Oktober ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata pihaknya turut akan bersama memantau projek itu bagi keberlangsungannya.