BM | EN | 中文

PROJEK RINTIS BASMI DADAH DI JOHOR BAHRU, PARIT SULONG

gmbr-fail-khuzzan.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 28 NOV: Kerajaan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah memperkenalkan projek rintis bagi membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu di 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, dua daripadanya melibatkan daerah di negeri Johor, iaitu Johor Bahru (Perling, Tampoi, Skudai) dan Parit Sulong (Batu Pahat).

“Projek rintis ini membabitkan kerjasama sembilan kementerian, 15 agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaksanakan secara holistik.

Advertisement

“AADK juga menyediakan perkhidmatan rawatan, perubatan dan pemulihan kepada penagih dadah melalui dua pendekatan iaitu Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pemulihan Dalam Institusi yang mana terdapat 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh Malaysia.

“Di Johor terdapat tiga institusi iaitu PUSPEN Kota Tinggi, Muar dan Tampoi,” katanya di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd Khuzzan (PH-Semerah) berkata demikian ketika menjawab soalan Khairuddin A Rahim (PH-Senggarang) berhubung statistik jumlah penagih di seluruh Johor dan tindakan lanjut kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Advertisement

Tambahnya, bagi 2018 bilangan penagih dan pengguna dadah di Johor seramai 12,313 orang daripada jumlah keseluruhan di seluruh negara iaitu 130,788 orang.

Johor merupakan negeri keempat tertinggi selepas Negeri Pahang, Kelantan dan Selangor.

Mengikut statistik MyAADK, bermula 31 Oktober 2017 hingga 31 Oktober 2019 seramai 4,625 orang telah diletakkan di bawah pengawasan AADK Johor atau dikenali sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP).

Advertisement

Ujarnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK giat melaksanakan aktiviti pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan kepada semua lapisan masyarakat termasuk di Johor.

“Pelaksanakan Program Pendidikan Pencegahan yang melibatkan komuniti dan Jabatan Kerajaan lain serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dilaksanakan.

“Pelbagai pendekatan termasuk program Keluarga Bebas Dadah, program Institusi Pendidikan Bebas Dadah, program Tempat Kerja Bebas Dadah dan program Komuniti Bebas Dadah,” tambah beliau.

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top