JOHOR BAHRU, 19 OGOS: Projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) di Johor dijangka bermula sepenuhnya pada akhir tahun 2022, dengan Fasa 1 dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.
Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, projek IMBRT kini berada di peringkat rekabentuk kejuruteraan terperinci.
“Perunding utama projek IMBRT yang dilantik bertanggungjawab untuk menyediakan rekabentuk kejuruteraan terperinci dan perkhidmatan penyeliaan pembinaan bagi pelaksanaan projek IMBRT Fasa 1.
“Mengikut perancangan, fasa 1 dijangka bermula pada akhir tahun 2020,” menurut jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, ahli parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan status terkini IMBRT di Johor dan tarikh dijangka akan mula dibina serta beroperasi.
Kementeran Pengangkutan menambah, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) selaku agensi pelaksana telah melantik perunding utama bagi projek IMBRT setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia pada 11 November 2019.
“Ujian perintis akan dimulakan pada suku ke-empat 2020 bagi jarak sejauh empat kilometer dari Horizon Hills ke Anjung, Medini.
“Di mana untuk memperlihatkan kepada agensi-agensi kerajaan dan orang awam mengenai teknologi hijau terkini yang mungkin dapat dilaksanakan di dalam projek BRT serta untuk memudah cara proses penilaian kelulusan pelesenan jenis kenderaan (Vehicle Type Approval).
“Mengikut perancangan, operasi IMBRT dijangka bermula pada hujung tahun 2022,” menurut jawapan itu lagi.
IMBRT mempunyai liputan rangkaian sepanjang 2,051km yang terdiri daripada 63km (Trunk Line), 1,247 km (Direct Line) dan 741km (Feeder Line) yang melibatkan pelbagai laluan.
Perkhidmatan BRT ini mampu menampung seramai 4,500 jumlah penumpang perjam sehala.
Menurut Kementerian Pengangkutan rekabentuk IMBRT menitikberatkan pelan operasi yang strategik untuk ketiga-tiga perkhidmatan yang ditawarkan iaitu Trunk Line, Direct Line dan Feeder Line.
Johorkini