BM | EN | 中文

Program SWM Kasih sempena Deepavali bantu pekerja hilang pendapatan

Program-SWM-Kasih-sempena-Deepavali-bantu-pekerja-hilang-pendapatan-3.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 2 NOV: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) terus membantu golongan yang hilang pendapatan akibat penutupan sempadan negara dan pandemik COVID-19 di negeri Johor melalui pengagihan sumbangan barangan keperluan dapur.

SWM Environment dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sumbangan diberi kepada 50 buah keluarga dari Taman Nesa di bawah entiti tanggungjawab sosial korporat (CSR), SWM Kasih sebagai bantuan persediaan bagi menyambut perayaan Deepavali.

“SWM Kasih meneruskan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini dengan memberi fokus kepada kelangsungan dan kelestarian hidup golongan berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) di kawasan perkhidmatan SWM Environment,” kata Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Advertisement

Menurut beliau, agihan sumbangan SWM Kasih Ceria Deepavali tersebut adalah pelengkap kepada sokongan dan bimbingan SWM Environment selaku rakan strategik Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 anjuran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Tambahnya, penduduk di Taman Nesa turut melaksanakan Projek Food Waste Barrel yang bertujuan untuk menerapkan gaya hidup rendah karbon dan mengurangkan kos sara hidup penduduk setempat.

Dalam pada itu SWM Environment memaklumkan turut melaksana Program Bantuan Pekerjaan Transit iaitu tawaran peluang pekerjaan sebagai anggota barisan hadapan dan sokongan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada warga Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura.

Advertisement

Ia sebagai sokongan bagi meneruskan kelangsungan hidup sementara menantikan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Hadir sama pada program serahan sumbangan ialah Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan yang menyambut baik kerjasama SWM Environment dan penduduk di Taman Nesa dalam membantu mereka yang memerlukan.

Beliau menyifatkan projek geran rendah karbon yang dilaksanakan tersebut sebagai menterjemah Teras Kelestarian Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Advertisement

Terdahulu, beliau bersama delegasi pengurusan SWM Environment mengagihkan Sumbangan SWM Kasih Ceria Deepavali dan menyaksikan sesi demostrasi pelaksanaan Food Waste Barrel.

Ia disampaikan ketua projek, Murugan Kaliappan bersama Cairul Hisham Jalaluddin, Pengarah SWCorp Negeri Johor dan Dr. Nina Diana Nawi, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top