KLUANG, 14 JUN: Orang ramai boleh mendermakan laptop (komputer riba) terpakai mereka bagi membantu para mahasiswa di daerah ini yang kurang berkemampuan.
Ahli parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata, ‘Program Laptop Sayangi Kluang’ ini bertujuan mengumpulkan laptop atau peranti terpakai untuk didermakan kepada pelajar yang tidak mampu membeli peralatan itu.

Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi
Katanya melalui inisiatif oleh Pejabat Parlimen Kluang, ‘Program Laptop Sayangi Kluang’ ini akan dapat mengurangkan jurang digital terutamanya pelajar yang kurang berkemampuan.
“Ramai pelajar daripada kalangan keluarga B40 tidak mampu untuk memperolehi laptop atau peranti untuk belajar melalui e-learning. Hal ini akan menyebabkan sebahagian pelajar tidak dapat mengikuti perjalanan pembelajaran.
“Kami akan mengumpulkan laptop yang masih berfungsi iaitu yang masih mempunyai pengecas dan bateri.
“Sumbangan anda amat berharga kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut akan berakhir pada 18 Jun ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, mahasiswa akan memulakan pembelajaran melalui ‘e-learning’ di rumah masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 sehingga 31 Disember.
Kepada para dermawan yang berhajat menderma laptop atau peranti lain yang masih berfungsi, sumbangan boleh dihantatr kepada Pusat Komuniti Kluang beralamat No 29, Jalan Tasik 1, Taman Tasik, Kluang, Johor.
Johorkini