BM | EN | 中文

Program Bank Makanan beri manfaat kepada 86,100 penerima di Johor

program-bank-makanan-johor.jpg

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Program Bank Makanan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor memberi manfaat kepada 86,100 orang penerima, sehingga 8 Jun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full.

Beliau berkata bantuan berkenaan diberikan menerusi tiga fasa iaitu fasa satu membabitkan 40,309, fasa dua (39,541 penerima) dan fasa tiga (6,250 penerima).

“Pada peringkat awal, program ini (Bank Makanan) bertujuan membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 khususnya penerima bantuan e-kasih, asnaf serta penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, kita telah menghadapi cabaran yang sangat hebat iaitu pandemik COVID-19, justeru, bantuan makanan ini diperluas kepada rakyat yang turut terjejas pendapatan mereka seperti peniaga kecil yang tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat yang tidak dapat bekerja kerana sektor pelancongan, perhotelan, pembinaan, perniagaan dan sebagainya tidak beroperasi ketika PKP serta rakyat diberhentikan kerja oleh majikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (PN-Penawar) yang ingin tahu jumlah penerima program Bank Makanan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor, kriteria penerima serta kaedah pelaksanaan program tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.

Dr Chong berkata kerajaan negeri Johor tidak menafikan pada awal pelaksanaan PKP dan program Bank Makanan itu, timbul pelbagai aduan tentang kelemahannya.

“Sudah tentunya berlaku kelemahan disebabkan situasi yang belum pernah terjadi sebelumnya. Justeru, kelemahan dalam penyampaian bantuan ini telah diperbaiki dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat yang mengetepikan perbezaan politik dengan menyampaikan bantuan disediakan kerajaan kepada rakyat sebaiknya.

“Peruntukan khas RM20,000 kepada semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang diluluskan kerajaan negeri dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor telah digunakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk membantu rakyat,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top