BM | EN | 中文

Program ambang merdeka Salahuddin Ayub di Johor Bahru dihalang pihak berkuasa

Salahuddin-dihalang-dalam-program-sambutan-Merdeka.jpg

JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Program berbasikal sempena sambutan ambang merdeka yang dianjurkan ahli parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub di sekitar kawasan bandaraya ini dihalang penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) atas alasan prosedur operasi standard (SOP) Covid 19.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu program telah dirancang dengan baik dan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan, malah ia diadakan dalam skala kecil.

Perkara itu katanya telah mengganggu kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang turut disertai peserta berbasikal yang akan mengadakan kayuhan pada malam tersebut.

“Hal ini tidak patut berlaku kerana saya ahli parlimen dan wakil rakyat di sini. Ini suatu yang tidak betul kerana halangan itu berlaku membuatkan saya tidak dapat berjumpa dengan rakyat saya.

“Ini adalah politik yang tidak baik. Budaya ini boleh dikatakan seperti politik balas dendam apabila saya dikejar seperti langsung tidak ada peluang untuk bertemu rakyat.

“Menghalang saya untuk bertemu rakyat di malam Hari Kemerdekaan suatu amalan budaya politik yang terkebelakang dan mundur serta tidak bertamadun,” tegasnya ketika ditemui.

Katanya, halangan dari pihak MBJB tersebut telah menjadikan beliau tidak mampu menjalankan program untuk bertemu pengundi di kawasannya.

Namun beliau bersyukur walaupun dihalang, semangat petugas untuk menjayakan progran ini tetap dipuji.

“Alhamdulillah, walaupun kita disekat dan dihalang, kita masih mampu menjayakan program di malam ini.

“Saya juga kesal kerana mendapat maklumat terdapat golongan yang juga menjalankan program seperti kami tetapi tidak dihalang.

“Ini adalah suatu keadaan pilih bulu dan diskriminasi dalam menjalankan undang-undang.

“Saya harap rakyat melihat perkara ini kerana di zaman Pakatan Harapan (PH) kita tidak pernah menghalang sebarang program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak walaupun ada di antaranya berbentuk politik parti pembangkang ketika itu,” tegasnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top