PROCOPE, AL-FISYAWY DAN TANJUNG PIAI
Ilustrasi artis Voltaire dan Diderot di Procope Cafe. Gambar Ehsan theculturetrip.com

PROCOPE, AL-FISYAWY DAN TANJUNG PIAI

Oleh: Samsudin Semang

Di Kota Paris ada satu kedai kopi, jadi ‘port’ berkumpul para seniman dan intelektual sekitar tahun 1920-an. Orang tempatan panggil kedai kopi ini Procope Cafe. Letaknya dekat dengan Bank Paris, cafe ini awalnya dibina pada 1686, klasik!

Procope terkenal sampai jadi sebahagian sejarah budaya intelektual di Eropah. Kedai kopi ini jadi popular bukan sebab kopi dia hipster atau rare dalam dunia.

Procope jadi pop sebab mengubah fungsi kedai kopi di Paris, menjelang era moden. Kedai kopi tak hanya tempat duduk minum kopi, kedai kopi jadi ruang awam untuk berkongsi dan bersaing idea.

Sebelum masyarakat dunia kenal Facebook, Twitter, Goodreads, wacana politik dan isu setempat saling bertukar di kedai kopi.

Di kedai kopi lahirnya idea dan gagasan besar. Rousseau, Diderot dan Voltaire antara sebahagian seniman dan intelektual yang jadi pelanggan tetap Procope Cafe.

Gambar Ehsan see.news

Melalui perbincangan dan perbahasan idea di kedai kopi buat orang Paris celik budaya dan idea. Kesannya, Perancis jadi pusat falsafah dan seni pascamoden.

Budaya kedai kopi sebagai ruang pertembungan idea dan seni sudah ada di sekitar Eropah waktu itu. Banyak karya besar dari Bach dan Beethoven lahir di kedai kopi sekitar Kota London.

Bukan hanya di Eropah, budaya kedai kopi sebagai ruang ekspresi dan pertembungan idea juga terjadi di Arab.

Di Kaherah, Mesir ada satu kedai kopi paling tua, Al-Fisyawy. Kedai ini dibuka oleh Fahmi Fisyawy sekitar 1760.

Mahfuz di Al-Fisyawy. Gambar Ehsan thenational.ae

Al-Fisyawy jadi ‘port’ penulis dan seniman Mesir zaman itu – Naquib Mahfuz dan Yusuf Siba’i. Khabarnya, Jean Paul Sartre – novelis dari Paris juga melepak di sini.

Baiklah, apa kena mengena budaya kedai kopi dengan Tanjung Piai?

Ceritanya begini.

Kalau pembaca pusing-pusing Tanjung Piai, sepanjang jalan dan setiap simpang pasti ada kedai kopi, ada orang panggil warung kopi.

Dari Serkat ke Kukup saja, setiap satu kilometer pasti ada dua tiga warung kopi.

Warung kopi di sini hidup – pagi petang penuh dengan pakcik abang. Ada yang balik dari kebun, ada yang balik dari laut.

Warung kopi di pekan Serkat, Tanjung Piai

Jurgen Habermas, pakar politik dari Jerman kata, untuk membentuk masyarakat yang celik politik, komunikasi di ruang awam adalah wajib.

Bagi penduduk Tanjung Piai, warung kopi adalah ruang awam yang dikatakan Habermas.

Di warung kopi ini, wacana dan dialog terbentuk. Dari cerita politik nasional, sukan, maruah Melayu sampailah isu khairat kematian, semuanya jadi bahan borak.

Borak, atau mat saleh sebut sebagai ‘discourse’ jadikan masyarakat setempat lebih peka dan cakna dengan situasi sekitar.

Budaya lepak kedai kopi di sini tak sama dengan budaya lepak cafe hipster. Di sini, pakcik dan brader tidak asyik dengan gajet atau telefon. Semuanya borak – saling tukar pandangan isu setempat.

Jadi, tak hairan kalau kita baca berita tentang PRK Parlimen Tanjung Piai, kebanyakan penduduk sini lebih peka dengan isu setempat.

Bagi mereka yang memahami persekitarannya, mereka juga tahu hak dan apa yang mereka perlu, termasuklah pemimpin mana yang layak pimpin mereka.

Di Tanjung Piai, kedai kopi bukan saja ruang berkongsi dan bersaing idea, malah jadi ruang mengenal budi.

Sebab itu, tanpa mengira dari mana- mana latar parti politik, masih ramai menyebut nama arwah Dr Farid, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Tidak sampai sepenggal berkhidmat tapi jasanya jadi borak setiap kedai kopi. Budinya jadi cakap sampai ke mati.

Johorkini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )