BATU PAHAT, 25 OKT: Pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan kempen di PRN Melaka secara berkumpul menimbulkan pelbagai reaksi.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Serudin Soud menjelaskan bahawa tindakan tersebut menjejaskan demokrasi.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan tersebut akan merencatkan amalan demokrasi telah lama wujud di negara ini.
“SOP ini mengelirukan. SOP melibatkan aktiviti sosial seperti panggung wayang, pusat peranginan dan pelbagai lagi melibatkan pengumpulan orang ramai dibolehkan tetapi untuk kempen sebegini tidak dibenarkan.
“Perkara tersebut pastinya menutup ruang pihak pembangkang (sedangkan) kerajaan boleh melakukan kempen melalui media massa yang sedia ada.
“Berbanding dengan pembangkang, selain media sosial, peluang untuk mereka memberikan maklumat kepada rakyat adalah melalui kempen-kempen secara terus kepada orang ramai seperti ceramah dan kempen dari rumah ke rumah.
“Khairy masih meneruskan usaha menteri sebelum ini yang menjadikan SOP sebagai perkara untuk mengelirukan rakyat.
“Kenyataan ini menegaskan bahawa Khairy sendiri tidak yakin dengan program imunisasi yang dibuat kerajaan,” jelasnya ketika dihubungi.
Hari ini Bersih 2.0 menolak larangan penuh berkempen melalui perhimpunan fizikal dan aktiviti sosial dalam pilihan raya negeri Melaka bulan depan.
Jawatankuasa pemandunya berkata larangan sebegitu adalah penindasan kepada hak calon untuk berkempen dan hak pengundi untuk membuat keputusan bermaklumat.
Malah, kata mereka, ia tidak selari dengan standard operasi piawai (SOP) di Melaka yang sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (Umno-Pontian) membantah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghadkan aktiviti pilihan raya di Melaka seperti ceramah kelompok sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata SOP yang ditetapkan kerajaan itu dengan menggunakan alasan bimbang dijangkiti varian delta, tidak dapat diterima.
Johorkini