BM | EN | 中文

PRN Johor: Polis siasat video tular pertengkaran isu pasang bendera parti

pdrm-polis.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 MAC: Polis menjalankan siasatan susulan tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa individu bertengkar, dipercayai membabitkan isu pemasangan bendera parti di pintu masuk sebuah kampung di Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata rakaman video itu dikesan tular semalam pada pukul 6 petang, bagaimanapun sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

“Polis mengesan rakaman yang memaparkan pertengkaran mulut melibatkan beberapa individu terdiri daripada ahli parti yang berbeza. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang laporan diterima berhubung insiden itu dan siasatan telah mula dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Advertisement

Dzulkhairi berkata orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil bagi membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Beliau pada masa sama turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam gerak kerja parti supaya mengawal tingkah laku dan emosi sepanjang perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bagi mengelakkan sebarang kekecohan atau insiden yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Netizen turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dengan menggunakan video yang diviralkan dalam insiden tersebut,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

scroll to top