KUALA LUMPUR, 12 FEB: PAS sudah mempunyai jumlah anggaran untuk kerusi yang akan ditandingi mereka dalam pilihan raya Johor, 12 Mac ini.
“Anggaran sudah ada. Kita akan dengar PAS Johor.
“Dan PAS Pusat akan menilai, akan turun ke bawah, kawasan yang patut kita bertanding. Itu perlu dibincang dengan rakan-rakan kita,” kata presiden PAS Abdul Hadi Awang, lapor Malaysiakini.
Hadi ketika berkata kepada pemberita di Marang, Terengganu semalam, perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Bila sampai masa (kita umum), dah dekat,” katanya.
Ditanya tentang ciri-ciri calon PAS nanti, Hadi berkata ia mestilah “adil, tak fasik” yang mempunyai pengetahuan dan tahu jalankan tugas.
Akhir Januari lalu PAS dan Bersatu memutuskan untuk menyertai PRN Johor sebagai pasukan bawah panji PN.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata PN juga bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada PRN berkenaan.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perancangan dan pembahagian kerusi di antara parti komponen PN akan dimuktamadkan kemudian.
PN dijangka akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRN Johor akan datang.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Jan lalu.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Johorkini