BM | EN | 中文

PRN Johor: Generasi kedua FELDA berhak dapat penempatan

felda-peneroka.jpg

SEGAMAT, 28 FEB: Generasi kedua dan ketiga FELDA perlu mendapat hak mereka untuk memiliki penempatan yang sudah lama diperjuangkan penduduk tanah rancangan itu di Johor.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Manap berkata, isu penempatan untuk generasi kedua dan ketiga FELDA sudah bermain di bibir masyarakat sejak 2008 lagi.

Katanya, sudah ada kawasan menyelesaikan tuntutan itu, namun masih ada yang belum berjaya memenuhi kehendak masyarakat FELDA.

Bagi DUN Pemanis sendiri, Anuar berkata, pernah ada badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan permohonan supaya setiap generasi kedua diberi tanah seluas 1,000 kaki persegi untuk dijadikan penempatan.

“Permohonan itu dikhabarkan sudah pun sampai ke peringkat kerajaan negeri, namun tidak sempat diselesaikan kerana kini berdepan dengan PRN.

“Saya akan pastikan isu itu menjadi keutamaan saya untuk dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan mahu diselesaikan segera kerana ia sudah menjadi satu isu lama.

“Ada yang sudah selesai seperti di FELDA Medoi apabila generasi kedua sudah mendapat sebidang tanah dan rumah. Iltizam saya supaya FELDA lain juga dapat selesaikan isu sama,” katanya, lapor BH Online.

Beliau ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini mengenai dakwaan beberapa pihak yang mahu masyarakat FELDA berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berjaya melupuskan hutang FELDA RM8.3 bilion, Anuar berkata tidak sepatutnya hanya satu pihak mendapat penghargaan.

Sebagai bekas Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia, katanya beliau sering bersama dalam mesyuarat tertinggi FELDA dan pada amatan beliau, usaha melupuskan hutang FELDA sebenarnya sudah bermula sejak 2015.

“Ia bukan proses singkat kerana bukan mudah menyelaraskan hutang peneroka yang membabitkan hingga RM160,000 untuk setiap peneroka.

“Proses ini berjalan lancar sehinggalah Pengerusi FELDA yang baharu, Datuk Seri Idris Jusoh, memberi fokus penuh untuk menghapuskan hutang itu sehingga 70 peratus.

“Jadi sepatutnya ia dilihat bukan hanya jasa Muhyiddin, tetapi banyak pihak terbabit dalam hal ini. Penggeraknya begitu ramai terutama mereka dalam pengurusan FELDA,” katanya.

Mengulas peluangnya untuk PRN kali ini, beliau yakin pengalamannya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sekijang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dapat membantu memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih BN.

Strategi utamanya memfokuskan kepada membuka lebih banyak peluang kepada generasi kedua dan orang muda untuk membabitkan diri dalam sektor pertanian moden.

Selain itu, isu sistem saliran di DUN Pemanis juga akan diberi perhatian, lantaran sering berdepan bencana banjir setiap tahun.

Johorkini

 

Share this post

scroll to top