BM | EN | 中文

PRN Johor: Calon Pejuang wajib jalani ujian psikometrik antirasuah – Mukhriz

Mukhriz-Mahathir-Pejuang.jpg

Gambar Ehsan FMT/Bernama

JOHOR BAHRU, 10 FEB: Individu yang berpotensi menjadi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang diwajibkan menjalani Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) seperti disarankan #RasuahBusters.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam kenyataan hari ini memaklumkan ujian itu bagi memastikan individu yang dicalonkan parti itu adalah bersih dan tidak terlibat dengan rasuah, selain mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi.

“Ujian ini juga merupakan komitmen Pejuang untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, dalam masa yang sama melahirkan hasrat Pejuang untuk mengubah nasib bangsa dan negara dengan menjamin masa depan yang bebas rasuah, berintegriti serta mengembalikan kegemilangan Malaysia,” katanya.

Selasa lepas Pejuang menyatakan parti itu masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top