BM | EN | 中文

PRK TG PIAI: “ORANGNYA MESTI MUDAH DIDEKATI, KUAT BEKERJA”

IMG-20191012-WA0011.jpg

PONTIAN, 16 OKT: Suasana pilihanraya kecil (PRK) di Tanjung Piai mulai terasa. Bendera parti politik sudah dinaikkan di beberapa kawasan.

Johorkini melakukan tinjauan dengan menemui beberapa penduduk Tanjung Piai yang kesemuanya lelaki, dan berbangsa Melayu, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pemimpin yang akan dipilih dalam PRK akan datang.

Kebanyakan penduduk setempat mengharapkan calon adalah anak tempatan, mudah didekati dan memahami masalah rakyat.

Shafie Shamsuddin

“Kami sangat berharap calon yang dipilih mestilah anak tempatan” kata Shafie Shamsuddin, 57, penduduk Kampung Parit Haji Shaari.

“Pentingnya anak tempatan kerana orang kampung mudah akses.

“Anak tempatan juga prihatin dan faham masalah khususnya isu ekonomi penduduk setempat.

“Saya harap pemimpin yang dipilih boleh membangunkan dan membantu memasarkan produk orang tempatan, terutamanya hasil pertanian yang ada di Tanjung Piai,” kata Shafie.

Zulkhairi Andik Makah

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Zulkhairi Andik Makah, 46, berpendapat bahawa wakil rakyat baharu mestilah seorang mudah ditemui.

“Kami harap wakil rakyat baharu mestilah anak tempatan, senang jumpa dan berbincang macam arwah (Dato Dr. Mohd Farid Rafik).

“Wakil rakyat dulu sudah letak tanda aras tinggi untuk orang Tanjung Piai. Kami harap kalau boleh dapat macam arwah,” kata Zulkhairi.

Azhari Ahmad

Manakala seorang pereka grafik di sebuah kilang dekat Pekan Nanas, Azhari Ahmad, 32 tahun berpendapat, wakil rakyat yang dipilih mestilah mampu bawa perubahan untuk Tanjung Piai.

“Saya harap wakil rakyat yang dipilih dapat meningkatkan tahap akses orang tempatan bagi majukan masyarakat Tanjung Piai.

“Akses yang saya maksudkan adalah keadaan jalan yang baik dan selamat serta capaian internet yang lebih stabil,” kata Azhari.

Pengundi P165 Tanjung Piai bakal memilih Ahli Parlimen baharu untuk mewakili mereka pada 16 November depan.

PRK kali ini merupakan yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42 tahun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

 

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top