PONTIAN, 11 NOV : Seramai 280 anggota polis akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pekan Nanas iaitu saluran satu akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 1 petang.
Katanya, manakala bagi Dun Kukup iaitu saluran dua, waktu pengundian dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.
“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Azhar berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada Hari Pengundian pada 16 November ini.
“Ia akan disimpan di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya,” katanya lagi.
PRK Tanjung Piai berlangsung pada Sabtu ini berikutan penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Pontian, di sini, pada 21 September lepas.
Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas.
Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini mewakili PH yang akan dicabar Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mewakili BN.
Selain itu, turut mengesahkan penyerahan borang pencalonan adalah wakil Gerakan Wendy Subramiam yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu serta Presiden Berjasa, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz.
Dua lagi calon bebas turut disahkan bertanding iaitu, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock.
JohorKini