BM | EN | 中文

PRK Chini 4 Julai, penamaan calon 20 Jun

PRK-Chini-Pahang-SPR.png

Sumber Infografik : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang pada 4 Julai 2020.

SPR dalam kenyataannya semalam turut memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, SPR juga memastikan proses PRK DUN Chini selari dengan arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan Covid-19.

“SPR akan menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi Rasmi.

“SPR juga bersetuju menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, yang dianggotai wakil daripada polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

“Seramai 832 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK DUN Chini, manakala 14 Pusat Mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi," katanya pada sidang media semalam.

[TONTON KAEDAH BAYAR ZAKAT FITRAH DI JOHOR SECARA ONLINE] 

Dalam pada itu katanya, bermula 3 Jun, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih bagi mengetahui maklumat pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan mereka melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Bagi memudahkan proses penamaan calon, mereka yang ingin bertanding perlu mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Surat pemaklumanan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Chini telah diserahkan kepada SPR pada 8 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11) pada 2004.

Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.

Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah Menteri Besar Datuk Adnan Yaakob.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top