JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Pusat pemberian vaksin (PPV) Educity Sports Complex, Nusa Jaya dijangka menerima 70,000 dos vaksin pada hari Khamis ini.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda bertitah laporan mengenai penerimaan vaksin di PPV itu diterima susulan perjumpaan baginda dengan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu semalam.
Baginda bertitah perjumpaan yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Mohd Noh Ibrahim dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman adalah bagi mendapatkan laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin di PPV Educity serta pembatalan temu janji untuk vaksinasi dan program vaksinasi pekerja kilang.
Titah baginda, inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.
Selain itu baginda bertitah kerajaan negeri juga telah menyediakan khemah yang Iebih besar untuk pusat COVID-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail (HSI).
Tunku Ismail turut bertitah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga telah memulakan sistem perkhidmatan pusat penilaian COVID-19 secara maya (VCAC), bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing.
Bernama