JOHOR BAHRU, 17 JUL: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) bermula Isnin ini sehingga 31 Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM, Abdul Razib Shahuddin, berkata PPV Institut Pengajian Tinggi Integrasi itu akan berpusat di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofia.
Katanya, pihaknya menubuhkan jawatankuasa yang diwakili pelbagai pihak dalam universiti dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai serta agensi kerajaan negeri lain, bagi memastikan PPV itu berjalan lancar.
“PPV ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 9 malam dengan kapasiti vaksin harian 1,500 dos.
“Pembukaan PPV UTM ini diharap dapat menyegerakan usaha kerajaan dalam mencapai sasaran imuniti kelompok.
“Penting untuk kita mencapai sasaran imuniti kelompok iaitu seramai 80 peratus rakyat negara ini divaksin supaya wabak COVID-19 yang menjejaskan negara ini dapat disekat,” katanya, lapor BH Online.
Beliau berkata, PPV berkenaan akan dikendalikan seramai 146 petugas, termasuk petugas Kementerian Kesihatan dan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan penuntut universiti.
Johorkini