BM | EN | 中文

PPM rampas 483 karton minuman keras tanpa duti kastam di Gelang Patah

PPM-rampas-483-karton-minuman-keras-tanpa-duti-kastam-di-Gelang-Patah.jpg

PPM rampas 483 karton minuman keras tanpa duti kastam di Gelang Patah (Gambar Ehsan PPM Wilayah Dua)

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 483 karton minuman keras pelbagai jenama tidak berduti kastam bernilai RM810,898.20 menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Gelang Patah, petang semalam.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Muhd Zailani Abdullah berkata kedua-dua serbuan bermula pada 4 petang itu adalah hasil risikan dan pemantauan Unit Risikan Marin terhadap aktiviti penyeludupan berkenaan.

“Unit Risikan Marin terdahulu telah membuat pemantauan dari pesisir pantai Forest City dan didapati terdapat minuman keras dibawa menaiki sebuah kereta Honda Odyssey ke tempat simpanan sementara di kawasan Gelang Patah seterusnya menyerbu premis simpanan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Muhd Zailani berkata di premis itu, Unit Risikan Marin turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun.

Beliau berkata soal siasat terhadap lelaki berkenaan kemudian membawa kepada serbuan kedua pada pukul 5.30 petang, hari sama, juga di kawasan Gelang Patah yang dipercayai merupakan tempat simpanan minuman keras.

Beliau berkata pihaknya percaya, kedua-dua premis yang diserbu itu merupakan tempat simpanan sementara minuman keras sebelum barangan berkenaan diedar kepada pasaran.

Katanya, lelaki tersebut dan kesemua barangan yang dirampas kini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top