BM | EN | 中文

POTONGAN TERUS DARIPADA BANTUAN BULANAN BAGI PENGHUNI PPR DI JOHOR SUDAH DILAKSANA

Pengerusi-Jawatankuasa-Perumahan-Komunikasi-dan-Multimedia-Dzulkefly-Ahmad.jpg

ISKANDAR PUTERI, 18 OGOS: Pemotongan terus bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada bantuan bulanan penghuni yang menerima bantuan daripada pelbagai pihak telah pun mula dilaksanakan kerajaan negeri sejak bulan lepas.

Pemotongan itu buat masa ini dibuat melalui Yayasan Penyayang Iskandar Puteri di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang kemudian disalurkan kepada Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata beberapa lagi yayasan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan lain turut bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan kaedah yang sama dalam masa terdekat.

“Tinggal lagi mereka (yayasan) nak melaksanakan kerana mereka perlu bawa perkara ini ke mesyuarat Ahli Lembaga pengarah atau Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Dzulkefly berkata pemotongan harus dilakukan bagi memastikan bantuan yang diperolehi penghuni diguna dengan sebaiknya termasuk untuk membayar ansuran sewa kediaman mereka.

Selain itu, ia diharap dapat mengatasi masalah tunggakan sewa penghuni yang kadangkala mencecah antara lima hingga 18 tahun, walaupun bayaran bulan hanya sekitar RM200 bulan.

“Saya difahamkan yayasan PBT kebiasaannya akan memberi bantuan bulanan itu secara terus untuk tempoh setahun dan sangat bahaya kalau duit ini diberi kepada penerima bantuan kerana khuatir akan disalahguna.

“Sebagai contoh kalau adalah penerima bantuan yang berdepan dengan pelbagai masalah, setidaknya jika ansuran rumah mereka dijelaskan menerusi pemotongan itu maka mereka masih ada lagi tempat tinggal untuk setahun,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian seperti dilaporkan Bernama selepas merasmikan Majlis Undian Terbuka bagi projek Rumah Mampu Biaya Johor Taman Saujana Putera Kesang, Tangkak di Bangunan Dato’ Abdul Rahman Andak di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tentang cadangan kerajaan negeri sebelum ini yang mahu bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memotong terus bayaran sewa PPR daripada bantuan bulanan yang diterima penghuni, supaya isu pembayaran sewa tertunggak dapat diselesaikan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top