BM | EN | 中文

Polis tumpaskan geng Amy Gaban

IMG-20200303-WA0010.jpg

Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes curi motosikal dengan tertangkapnya geng Amy Gaban

KOTA TINGGI, 3 MAC : Polis Kota Tinggi berjaya menumpaskan geng Amy Gaban yang aktif melakukan aktiviti mencuri motosikal sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dilakukan semalam antara jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi oleh Team Khas Lejang diketuai Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail bersama 10 anggota.

Katanya,  serbuan dijalankan melibatkan beberapa lokasi sekitar Felda Bukit Waha dan Felda Simpang Waha.

“Seramai 10 lelaki tempatan lingkungan umur 27 hingga 30 tahun berjaya ditahan dan merampas 4 buah motosikal pelbagai model.

“Sebanyak 19 peralatan untuk mengubahsuai nombor chasis dan enjin turut dirampas.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki tempatan dengan nama panggilan Amy Gaban dan telah aktif lebih kurang tiga bulan,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, modus operandi geng tersebut ialah mencuri motosikal dan kemudian ‘punch’ baru pada nombor chasis dan enjin motosikal tersebut.

Jelasnya, dengan tumpasnya geng ini pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes curi motosikal.

“Semakan rekod jenayah lampau dapati 5 suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkenaan kes jenayah dan kes narkotik.

“Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, denda tidak lebih RM 1000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk permohonan tahanan reman seperti mana yang diperuntukkan di bawah Sek 117 Kanun Prosedur Jenayah,”katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top