BM | EN | 中文

Polis tumpas sindiket curi daging sejuk beku dari Johor

PDRM-Polis.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 APR: Polis menumpaskan anggota sindiket mencuri daging sejuk beku dari Johor selepas menahan empat lelaki di Senai, semalam serta menyita 395 kotak daging kambing dan kerbau sejuk beku yang dicuri dari sebuah kedai di Taman Inderawasih, di Bukit Mertajam, 4 April lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun itu ditahan pada 2.40 petang semalam di kawasan parkir sebuah stesen minyak Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Senai dalam sebuah lori jenis Mitsubishi.

“Polis menerima laporan daripada seorang pemilik premis menjual daging sejuk beku berhubung premisnya yang dipercayai telah dipecah masuk pada tengah malam 4 April lepas. Namun, pemilik menyedari kejadian itu pada 9.30 pagi, apabila mendapati pintu utama kedainya terbuka dan pemeriksaan mendapati semua daging kambing serta kerbau bernilai RM250,000 yang disimpan di situ telah hilang.

Advertisement

“Bertindak hasil maklumat dan siasatan, kami berjaya menahan empat lelaki itu termasuk ketuanya yang berusia 32 tahun dan mereka mengaku datang daripada Johor untuk mencuri di kedai-kedai daging sejuk beku di negeri di utara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Shafee berkata suspek mengakui datang ke kawasan utara untuk mencuri kerana mahu mengelak daripada dikesan polis Johor dan modus operandi sindiket berkenaan ialah mengenal pasti premis menjual daging sejuk beku melalui laman sosial Facebook atau Google dan barangan curi kemudian dijual kepada pihak ketiga.

Polis turut merampas sebuah lori Mitsubishi, lima telefon bimbit dan peralatan untuk memecah masuk kedai serta dan dua buah troli. Kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Advertisement

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam beberapa kejadian curi daging sejuk beku di beberapa buah premis lain termasuk di Kulim, Kedah.

Sementara itu di Butterworth, Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sejak awal tahun ini, polis telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik terhadap 55 premis perniagaan yang membenarkan kegiatan loteri dan judi ekor tanpa lesen beroperasi.

Noorzainy berkata premis berkenaan antaranya kedai kopi, kedai telefon bimbit, kopitiam dan kedai runcit dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 20 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Advertisement

“Kalau sebelum ini membuka sendiri aktiviti dengan menyewa bangunan dan berselindung di sebalik pelbagai aktiviti perniagaan, tetapi kini mereka didapati mengubah taktik bergerak dari satu tempat ke satu tempat malah ada yang beroperasi di dalam kenderaan atau lorong belakang kedai,” katanya.

Katanya polis akan terus membanteras kegiatan loteri dan judi ekor tanpa lesen dan pemilik premis yang membenarkan sindiket ini beroperasi di kedai atau bangunan mereka akan dikenakan tindakan.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top