BM | EN | 中文

POLIS TERIMA LAPAN LAPORAN, TIGA KERTAS SIASATAN DIBUKA

Mustafa.jpg
Advertisement

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 6 NOV : Sebanyak lapan laporan polis telah dibuat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bermula 2 hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, daripada jumlah itu tiga kertas siasatan telah dibuka.

Advertisement

“Dua kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kejadian billboard parti Gerakan yang ditumbangkan serta bendera Pakatan Harapan (PH) yang dicabut.

“Satu kes lagi disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu melibatkan satu rakaman video viral ucapan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam perjumpaan tertutup di SJK (C) Pei Chio Kukup Laut.

“Semua kes ini kita akan cuba percepatkan siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini, hari ini.

Advertisement

Ditanya sama ada Salahuddin akan dipanggil membantu siasatan, beliau berkata, pihaknya akan berbuat demikian jika perlu.

“Tengok pada keadaan nanti, kalau kita perlu. Setakat ini kes masih dalam siasatan,” katanya.

Berkenaan laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mendakwa beliau terbabit dalam rasuah, Mustafa  berkata, kes itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Advertisement

Sementara itu, katanya, sebanyak 159 permit telah dikeluarkan sepanjang empat hari tempoh berkempen merangkumi PH (23), BN (74) dan Gerakan (62).

“Saya menasihatkan parti-parti yang ingin berkempen memohon permit bagi memudahkan polis mengatur gerak pegawai dan anggota agar tempoh kempen berjalan lancar,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan seramai 1,740 anggota polis ditugaskan dari hari penamaan calon, tempoh kempen dan pengundian.

Advertisement

“Pihak polis akan sentiasa memantau keadaan secara terperinci untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan suasana kempen yang aman dan terkawal,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top