BM | EN | 中文

POLIS TERIMA 25 LAPORAN KES TIPU PAKEJ UMRAH DAN HAJI

polis.jpg

KOTA TINGGI, 5 DIS: Pihak polis telah menerima sebanyak 25 laporan berkaitan kes penipuan pakej Umrah dan Haji yang melibatkan 48 orang mangsa di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ashmon Bajah berkata pemilik Syarikat Umrah Massnizam Group Travel & Tours Sdn Bhd didakwa telah menerima pembayaran sebanyak RM322,493.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah menerima laporan terhadap syarikat tersebut yang didakwa gagal menguruskan pakej umrah dan haji setelah menerima bayaran daripada para jemaah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata pemilik syarikat tersebut juga telah gagal menguruskan visa bagi pakej tersebut sebagaimana yang dijanjikan setelah menerima bayaran daripada mangsa-mangsa itu.

“Mangsa juga telah membuat laporan polis di beberapa kontinjen lain seperti di Pahang, Perak dan Kedah,” tambahnya.

Supt Ashmon berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat pemilihan pakej umrah dan memilih agensi yang berkeupayaan untuk melaksanakannya,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top