JOHOR BAHRU, 4 DIS: Polis berjaya menahan dua suspek dipercayai terlibat dengan penggunaan dadah dalam satu tangkapan di Jalan Bukit Kempas, di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kedua-dua suspek ditahan anggota polis dari Balai Polis Tampoi.
Katanya, pada jam 3.30 pagi, anggota polis mengesan sebuah kenderaan dinaiki dua suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya untuk berhenti.
“Suspek terus memecut kenderaannya sebelum polis mengejar sepanjang jarak kira-kira 10 kilometer sebelum suspek memberhentikan kenderaan.
“Suspek kemudian bertindak cuba merempuh anggota polis yang menghampiri kenderaan tersebut sebelum seorang anggota polis lain melepaskan tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah beliau, suspek kemudian bertindak memecut kenderaan sekali lagi sebelum meninggalkan kenderaan itu pada jarak kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian.
“Hasil risikan dibuat, salah seorang suspek yang cedera ditemui di sebuah hospital kerajaan berhampiran dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi suspek ditahan tidak lama kemudian.
“Siasatan dibuat kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Mohd Kamarudin turut memberitahu polis turut merampas 15 paket plastik kecil lutsinar mengandungi syabu, wang tunai RM70 dan dua telefon bimbit manakala kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
JohorKini