BM | EN | 中文

Polis tahan ambulan di Johor untuk elak bertembung konvoi PM – Sumber

ambulan.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Rakaman video yang memaparkan polis trafik menahan sebuah ambulans bagi memberi laluan untuk konvoi masuk ke jalan utama di Johor Bahru tular di media sosial, dengan orang ramai mempersoalkan tindakan itu.

Insiden itu dilaporkan berlaku Sabtu lalu, melibatkan konvoi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas dia melancarkan program Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana di Johor Bahru.

Rakaman dashcam menunjukkan ambulans swasta dengan siren dibunyikan ditahan untuk memberi laluan kepada konvoi itu dimuat naik di media sosial semalam.

Advertisement

Seorang sumber daripada pihak penguatkuasaan berkata ambulans tersebut ditahan kerana konvoi tersebut, yang bergerak dari arah Taman Tasek, telah masuk ke jalan utama dengan kelajuan tinggi dari jejambat.

Sumber itu berkata jika ambulans itu dibenarkan meneruskan perjalanan, ia berisiko bertembung dengan konvoi di depannya.

Namun, katanya lagi, ambulans itu diberi keutamaan berbanding kenderaan lain dan dibenarkan meneruskan perjalanan terlebih dahulu selepas konvoi berlalu.

Advertisement

Malaysiakini menghubungi ibu pejabat polis Bukit Aman berhubung insiden itu, dan pihak polis menyambungkan pertanyaan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. Jabatan itu belum memberi maklum balas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan oleh ibu pejabat polis daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Ketika pelancaran program Aspirasi Keluarga Malaysia minggu lalu, Ismail Sabri menegaskan kepentingan kestabilan politik.

Advertisement

Turut hadir di acara itu adalah penyandang menteri besar Hasni Mohammad, yang juga pengerusi BN Johor.

Kunjungan Ismail Sabri di tengah kempen PRN Johor. Pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.

Pada Disember lalu, sebuah ambulans turut ditahan di Hulu Langat, Selangor bagi memberi laluan kepada konvoi Ismail Sabri ketika dia melawat kawasan yang terjejas akibat banjir.

Advertisement

Selepas rakaman video insiden itu tular, Polis Selangor menjelaskan langkah itu dibuat atas faktor keselamatan.

Polis dalam kenyataan kemudian mengesahkan ambulans tersebut dihentikan untuk melibatkan pertembungan dengan konvoi perdana menteri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abdul Wahid turut berkata, laporan telah dibuat terhadap video itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Advertisement

Johorkini

Share this post

scroll to top