JOHOR BAHRU, 21 JUL: Polis menahan 448 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Sarang Khas yang dijalankan serentak di seluruh Johor melibatkan lubuk penagihan dadah di negeri itu, dua hari lepas (19 Julai).
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam operasi yang bermula seawal tiga pagi dan berakhir 6 petang itu, mereka yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun terdiri daripada 31 disyaki pengedar dadah, 42 didapati memiliki dadah, 331 penagih dadah manakala 44 dikenal pasti sebagai individu dikehendaki.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah pelbagai jenis dadah seperti heroin seberat 300 gram, syabu (103.3g) dan ganja (103.3g) serta empat liter air ketum dan enam pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM20,989.
Beliau berkata sejumlah 150 suspek yang ditahan berpotensi untuk didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tangkapan ini adalah yang tertinggi direkodkan berbanding kontinjen polis lain. Lubuk penagihan dadah ini sentiasa berubah dan penagih biasanya menjadikan rumah terbiar dan kawasan hutan sebagai lokasi mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Datuk Ayob Khan
Ayob Khan berkata kebanyakan kes membabitkan individu yang ditahan berulang kali sebelum ini malah ada antara mereka yang sudah ditahan sebanyak lima hingga enam kali.
“Dari awal tahun hingga Ahad lalu, polis berjaya membuat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan 243 pesalah dadah tegar dan berulang,” katanya.
Dalam operasi Ahad lepas, beliau berkata golongan penganggur merupakan yang paling banyak terlibat dan kebanyakan mereka berusia 40 tahun ke atas.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Julai lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan sejumlah 10,682 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 990.27 kilogram bernilai RM21.49 juta serta harta yang disita bernilai RM8.6 juta.
Ops Sarang Khas itu melibatkan kekuatan 341 orang terdiri daripada pegawai dan anggota polis kontinjen Johor serta melibatkan 20 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan Johor selain menggunakan khidmat anjing pengesan daripada unit K9.
Bernama