BM | EN | 中文

Polis selamatkan seorang warga emas daripada ditipu RM200,000

IMG-20200214-WA0032.jpg

KOTA TINGGI, 14 FEB: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menyelamatkan seorang warga emas daripada mengalami kerugian sebanyak RM200,000, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, hasil maklumat awal mendapati warga emas berusia 60 tahun yang merupakan bekas peneroka itu cuba mendepositkan wang berjumlah RM200,000 ke dalam sebuah akaun pihak ketiga.

Menurutnya, pada mulanya warga emas tersebut memaklumkan tujuan deposit itu adalah untuk pembelian tanah.

“Tetapi hasil soal siasat lanjut mendapati bekas peneroka tersebut telah menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

“Suspek telah memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai tunggakan pembayaran cukai dengan kerajaan dan sekiranya tidak menyelesaikan tunggakan tersebut, wang simpanannya akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat pemindahan segala wang simpanannya ke dalam akaun pihak ketiga yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa juga diarahkan untuk merahsiakan perkara tersebut kerana kes tersebut merupakan rahsia kerajaan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dari sepuluh tahun, dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

“Pihak Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak polis sekiranya menerima mana-mana panggilan yang meragukan,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top