BM | EN | 中文

POLIS RAMPAS 1,350 KARTON ROKOK SELUDUP DI BENUT

Polis-rampas-1350-karton-rokok-seludup-di-Benut.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 OGOS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas 1,350 karton rokok putih dan kretek dipercayai diseludup dalam serbuan di sebuah premis stor penyimpanan di Kampung Permatang Duku, dekat Benut, Pontian, semalam.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata lelaki berusia 34 tahun itu yang dipercayai pemilik premis berkenaan, ditahan pada pukul 8.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggotanya.

“Pemeriksaan dalam premis itu, yang dahulunya merupakan sebuah kedai tetapi dikosongkan menjadi stor penyimpanan, menemui kira-kira 32 kotak berwarna coklat dan berlabel, dipercayai berisi rokok tidak sah.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 1,350 karton rokok putih dan kretek dalam kotak-kotak berkenaan yang dianggarkan bernilai RM178,890 termasuk cukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu adalah untuk pasaran tempatan.

Khiu berkata lelaki berkenaan dan kesemua rokok tersebut dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Tampoi untuk siasatan mengikut Sesyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Advertisement

Siasatan selanjutnya akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, tambahnya.

Dalam masa yang sama, Khiu turut menegaskan bahawa pihaknya komited dalam menangani isu pengedaran dan penjualan rokok tidak sah di pasaran dan akan meneruskan operasi-operasi terhadap rangkaian penjualan dan pengedaran rokok tidak sah di negeri ini.

Orang ramai juga boleh memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada PPM di talian 07-2372221 ataupun 07-2372222.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top