BM | EN | 中文

Polis percaya Long Tiger masih dalam negara

Long-Tiger-lokap-Tangkak.jpg

KANGAR, 21 DIS: Polis percaya ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu masih berada di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya kini sudah mempertingkatkan kawalan dan memburu suspek itu, terutama di negeri yang mempunyai sempadan darat antarabangsa di bahagian utara dan pantai timur negara seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, selain negeri di selatan seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Malah, wajah suspek sudah diedarkan kepada setiap kontinjen polis negeri, selain meminta bantuan ketua polis daerah dan balai untuk mengesannya.

“Setakat ini kita masih memburu Long Tiger ini,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Dewan Serbaguna IPK Perlis, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mazlan bertemu pesara polis dan menyampaikan zakat kepada golongan itu.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah kira-kira jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana kes pemerasan.

Ketika melarikan diri, suspek berkepala botak memakai baju-t pagoda, berseluar coklat serta mempunyai ketinggian sekitar 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram.

Suspek juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top