Gambar Ehsan Pasukan Polis Marin
JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenis tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM240,504 dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dekat Taman Johor Jaya, di sini, awal pagi semalam.
Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata premis tersebut yang dipercayai dijadikan sebagai stor minuman keras tidak sah diserbu pada pukul 1.30 pagi susulan pemantauan dan pemerhatian pihaknya dan maklumat orang awam.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan, kita menemui sejumlah bir dan liquor dipercayai tiada cukai Kastam di bahagian ruang tamu dan bilik rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khiu berkata tiada tangkapan semasa serbuan dilakukan namun siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik rumah berkenaan.
Menurutnya, rampasan kemudian telah dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Sesyen 135 Akta Kastam 1967.
Bernama