KOTA TINGGI, 10 DIS: Tidak sampai dua minggu digajikan oleh pemberi pinjaman wang tidak berlesen sebagai penyimbah cat, seorang lelaki ditangkap polis di Bandar Desa Cemerlang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek diberkas hasil laporan polis berhubung kejadian simbah cat di sebuah rumah dibuat pengadu pada kira-kira jam jam 1 pagi hari sama.
Katanya, pengadu berusia 31 tahun membuat laporan mendakwa rumah dan kenderaan miliknya di Taman Kota Jaya, disimbah cat oleh along.
“Tindakan itu dipercayai sebagai amaran kerana tidak membayar pinjaman yang dibuat lelaki berkenaan melalui Facebook pada awal 2019. Pada hari sama, kira-kira jam 12.30 tengah hari, hasil risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Tinggi, seorang suspek lelaki berusia 31 tahun berjaya ditahan.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan menyimbah cat di rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman di sekitar Johor sejak akhir November lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu, BH Online melaporkan, polis turut merampas dua kereta, tiga kad ATM, satu telefon bimbit dan tin cat serta peralatan menyimbah cat dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan untuk mengesan ahli sindiket lain yang terlibat dalam kes ini. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat pinjaman dengan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen bagi mengelak diancam sindiket ini,” katanya.
Johorkini