KOTA TINGGI, 11 FEB : Polis Daerah Kota Tinggi Johor telah mengenal pasti tiga kawasan yang kerap berlaku kemalangan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kawasan itu adalah di Jalan Johor Bahru – Mersing, jalan Kota Tinggi – Kluang dan Jalan Lok Heng – Mawai.
Menurutnya, statistik merekodkan pada tahun 2018 hingga Januari 2020, Jalan Johor Bahru – Mersing mencatatkan sebanyak 1,485 kes kemalangan di mana 34 kes adalah kemalangan maut.
“Diikuti di laluan kedua iaitu Jalan Kota Tinggi – Kluang sebanyak 232 kes kemalangan di mana 11 kes adalah kemalangan maut.
“Manakala Jalan Lok Heng – Mawai mencatatkan sebanyak 108 kes kemalangan di mana lapan kes adalah kemalangan maut bagi tempoh sama,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, antara punca utama kemalangan yang dikenal pasti ialah sikap pemandu yang tidak mematuhi peraturan lalulintas.
Berikutan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa melalui tiga lokasi tersebut.
JohorKini