BM | EN | 中文

Polis Johor tumpaskan sindiket tipu beli telefon bimbit babit kerugian lebih RM8 juta

Polis-Johor-tumpaskan-sindiket-tipu-beli-telefon-bimbit-babit-kerugian-lebih-RM8-juta.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 SEPT: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan pembelian pakej telefon bimbit membabitkan kerugian kira-kira RM8.6 juta menerusi beberapa siri tangkapan ke atas pemilik akaun keldai dan ahli sindiket itu di sekitar Iskandar Puteri di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan bermula pada 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam itu, seramai 14 ahli sindiket terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita tempatan berumur lingkungan 19 hingga 38 tahun ditahan.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 24 keping kad ATM pelbagai bank, sebuah komputer riba dan sebuah tablet dipercayai digunakan ahli sindiket dalam kegiatan itu.

Advertisement

Ayob berkata siasatan mendapati sindiket itu, yang bergiat aktif sejak awal tahun lepas, membeli akaun keldai bagi tujuan membuat pendaftaran pembelian pakej talian berserta telefon bimbit.

“Selain itu, mereka menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat majikan yang dikeluarkan oleh sindiket sama bagi mengaburi pihak telco.

“Setelah pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak telco, sindiket itu akan membuat pembayaran menggunakan kad kredit milik individu lain seterusnya telefon dan pakej yang didaftarkan diserahkan kepada ahli sindiket,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Advertisement

Beliau berkata bagi setiap transaksi yang berjaya dilakukan, pemilik akaun keldai akan menerima komisen sebanyak RM350 manakala ejen yang mendapatkan khidmat pemilik akaun itu menerima RM150.

Ayob Khan berkata pihak syarikat telekomunikasi mula menyedari menjadi mangsa penipuan setelah usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak pihak bank.

Katanya semakan dengan syarikat telekomunikasi terbabit mengesahkan mereka telah mengalami kerugian lebih RM8.6 juta.

Advertisement

Beliau berkata kejayaan menumpaskan sindiket itu merupakan yang pertama oleh polis Johor membabitkan penipuan pembelian pakej telefon bimbit.

Ayob berkata kesemua yang ditahan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda Mika sabit kesalahan.

Katanya sehubungan itu, polis kini mengesan dan memburu ketua sindiket dikenali sebagai Tan Boon Han, 38, dengan alamat terakhir di Kampar, Perak serta Wong King An, 27, dan The Chin How, 38, yang bertindak sebagai orang kanan.

Advertisement

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai makiumat agar menghubungi Pegawai Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Johor ASP Timmy Anak Aheng di talian 019-877 3728 atau menerusi hotline JSJK di talian 013-2111 1222.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top