JOHOR BAHRU, 3 FEB: Polis menahan 15 lelaki serta dua wanita dan menumpaskan satu sindiket “pusat panggilan” penipuan Macau Scam dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka yang berumur antara 22 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 10.35 pagi, dan polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi menghubungi dan memperdayakan mangsa termasuk 57 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer dan dua modem.
Beliau berkata modus operandi yang sering digunakan mereka adalah dengan menyamar sebagai pegawai pos laju dan memperdayakan mangsa kononnya ada kiriman atas nama mangsa ditahan kerana mengandungi barang yang menyalahi undang-undang.
“Suspek kemudiannya menyamar sebagai pegawai penyiasat dan menawarkan untuk menyelesaikan kes dengan meminta maklumat diri serta perbankan, dan mangsa kemudiannya mengikut arahan yang diberikan melalui panggilan telefon untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan ahli sindiket ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.
“Ahli sindiket kumpulan ini dari pelbagai negeri termasuk dari Sabah, Sarawak dan mereka menerima gaji bermula RM2,000 hingga RM7,000 selain menerima komisen antara satu hingga tiga peratus dari hasil yang mereka perolehi, dan mangsa adalah dipilih secara rawak,” tambahnya.
Beliau berkata kesemua mereka kini direman sehingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata pihak polis masih sedang berusaha mengesan tiga beranak bagi membanu siasatan berhubung penipuan Macau Scam membabitkan pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.
Mereka terdiri daripada seorang lelaki berumur 55 tahun yang dikenali dengan nama panggilan “Teddy Teow” yang mempunyai rekod jenayah dan dipercayai telah melarikan diri ke Danok, Thailand, serta dua anaknya masing-masing berumur 32 dan 30 tahun dipercayai masih berada dalam negara.
Sementara itu di PULAU PINANG hasil risikan dan intipan; polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah inap desa di Persiaran Karpal Singh dan menahan tujuh lelaki serta seorang wanita berumur antara 20 dan 40 tahun yang sedang leka berjudi pada kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra’ais berkata polis turut merampas daun pakau, buah dadu serta wang tunai RM13,000.
“Mereka cuba mengaburi mata pihak polis untuk menjalankan aktiviti perjudian di inap desa, namun kegiatan mereka dapat dikesan, selain ditahan atas kesalahan berjudi, kesemua mereka turut disiasat kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bernama