BM | EN | 中文

Polis Johor tumpas kumpulan Allan, sindiket pembekal kad ATM kepada Macau Scam

Polis-Johor-tumpas-kumpulan-Allan-sindiket-pembekal-kad-ATM-kepada-Macau-Scam.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 23 NOV: Polis Johor berjaya menumpaskan Kumpulan Allan yang aktif melakukan kegiatan pembekalan kad ATM kepada sindiket penipuan Macau Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud sekitar bandar raya ini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai 10 ahli kumpulan itu, yang berumur lingkungan 19 hingga 41 tahun dan dipercayai bertindak sebagai pengumpul kad ATM serta mencari bekalan kad terbabit dengan bayaran RM400 bagi setiap kad, berjaya ditahan.

Beliau berkata penahanan kesemua rakyat tempatan itu merupakan yang pertama membabitkan kes komersial membekalkan kad ATM kepada sindiket Macau Scam, pinjaman serta pelaburan tidak wujud.

Advertisement

“Pada 18 Nov lepas pada kira-kira 12.30 tengah hari, polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara bersama anggota cegah jenayah Balai Taman Perling telah menahan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita yang membawa kepada penemuan kad ATM, kad sim serta beberapa dokumen seperti buku nota yang mempunyai nombor akaun mencurigakan.

“Ekoran penahanan itu, polis telah menyerbu dua rumah di sekitar Tampoi dan menahan empat lelaki dan dua wanita berserta barang termasuk buku nota tercatit butiran nama, nombor akaun bank dan nombor pin kad ATM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata seorang daripada suspek merupakan ketua kumpulan bagi sindiket pengumpul kad ATM di kawasan Larkin dan Jalan Wong Ah Fook di sini selain menyasarkan pemilik akaun dalam kalangan penagih dadah.

Advertisement

Beliau berkata sindiket itu, yang bergiat aktif sejak Februari lepas, menggunakan modus operandi yang menyaksikan mereka bertanggungjawab mengumpulkan kad ATM (keldai akaun) untuk dijual kepada sindiket penipuan.

Kad ATM terbabit akan dikumpul dan diserahkan bersama nombor pin serta kad sim bagi tujuan pengaktifan kepada ketua kumpulan iaitu ‘Allan’ atau ‘Frankie.’

Sehubungan itu, polis Johor kini mengesan dan memburu ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Muhammad Raif Lee Abdullah atau Frankie atau Allan, berumur 38 tahun.

Advertisement

Ayob Khan berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mengesan 91 kes melibatkan sindiket itu di seluruh negara yang membabitkan kerugian lebih RM 3.7 juta.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek agar menghubungi balai polis berhampiran.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top