BM | EN | 中文

Polis Johor temui 21.8 kg syabu, 14,000 pil ekstasi bernilai RM1.29 juta di Muar

Polis-Johor-temui-21.8-kg-syabu-14000-pil-ekstasi-bernilai-RM1.29-juta.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 OKT: Polis Johor berjaya menemui 21.8 kilogram dadah jenis syabu dan 14,000 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.29 juta menerusi dua operasi susulan di Muar dekat sini pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi itu diadakan berikutan hasil soal siasat terhadap enam suspek berusia antara 20 dan 32 tahun yang ditahan di daerah sama pada hari Selasa dan Rabu lepas.

Beliau berkata pendedahan yang dibuat oleh suspek membawa polis kepada dua lokasi simpanan dadah iaitu masing-masing di kawasan pantai hutan bakau Parit Besar Laut, Muar dan di kawasan kebun kelapa sekitar Muar.

Advertisement

“Dalam serbuan di kawasan pantai berkenaan pada 16 Okt, kira-kira pukul 10 pagi itu, polis menemukan sejumlah dadah jenis syabu seberat 20.7 kilogram dan 14,000 biji pil ekstasi bernilai RM1.25 juta yang diletakkan dalam beg, dipercayai telah ditinggalkan oleh suspek sebelum diberkas.

“Serbuan kedua di kawasan kebun kelapa pada 17 Okt sekitar pukul 12.10 pagi pula membawa kepada penemuan 1.06 kg syabu bernilai RM42, 560. Dalam kedua-dua serbuan susulan ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” kata beliau kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata hasil keseluruhan operasi melibatkan sindiket ini sejak 13 Okt lepas, polis berjaya merampas 37.53 kilogram syabu serta 23, 905 biji pil ekstasi bernilai RM2.2 juta, dan polis turut menyita dua bot fiber berserta enjin bernilai RM35,000; sebuah kereta jenis Perodua Viva bernilai RM10,000 serta sebuah motosikal jenis Yamaha Solaris bernilai RM5,000.

Advertisement

Beliau berkata semua suspek direman sehingga 20 Okt dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 16 Okt lepas, polis Johor mendedahkan penangkapan enam suspek termasuk seorang wanita bersama anak saudara lelakinya dalam tiga serbuan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke Bengkalis, Sumatera, Indonesia, serta rampasan 14.6 kg syabu dan 9,905 biji pil ekstasi bernilai kira-kira RM1 juta.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top