BM | EN | 中文

Polis Johor siasat kes tipu kuih raya

polis.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 18 APR: Polis Johor membuka satu kertas siasatan berhubung kes penipuan peluang perniagaan jualan kuih raya di Kulai, pada awal Disember lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan itu adalah susulan tiga laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Kulai dengan terbaharu pada 23 Mac lepas.

Beliau berkata mangsa ditawarkan peluang perniagaan itu oleh individu pada 2 Dis lepas dengan kononnya hanya perlu mengeluar modal serendah RM500.

Advertisement

Selain itu, individu berkenaan juga menjanjikan mangsa akan menerima modal tambahan berjumlah RM1,500 dan mendapat 1,600 balang kuih raya untuk dipasarkan ke luar negara.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah memasukkan wang RM500 ke dalam sebuah akaun bank CIMB,” kata beliau dalam kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, semasa mangsa menghadiri satu perjumpaan bersama individu berkenaan di Dewan Muhibbah Kulai pada 11 Dis, mangsa bersama beberapa lagi mangsa lain dikehendaki untuk membuat pembayaran tambahan bagi modal membeli kelengkapan yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini.

Advertisement

“Wang tambahan modal RM1,500 yang dijanjikan juga tidak diterima, menyebabkan mangsa membuat laporan polis,” kata Ayob Khan.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran perniagaan yang tidak masuk akal dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan mudah.

Polis juga menggesa mana-mana individu atau mangsa yang terlibat dengan kes tersebut agar tampil untuk membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top