BM | EN | 中文

Polis Johor siasat kemungkinan wujud sindiket lesen kenderaan berat palsu untuk warga asing

ayob-khan-polis-johor.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Polis menahan seorang pemandu lori perdagangan warganegara India yang didapati memandu dengan menggunakan lesen memandu yang palsu dalam satu operasi di Plaza Tol Skudai hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk membuat siasatan terperinci sekiranya wujud sindiket memalsukan lesen memandu kenderaan berat, yang ditawarkan kepada warga asing.

“Ini kerana suspek mengatakan lesen ini didapati daripada Klang… mungkin lesen ini diperoleh secara sah, tetapi (dia) dapat yang palsu ataupun suspek guna sindiket untuk mendapatkannya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang membawa lori treler muatan silika itu ditahan bersama dengan seorang kelindan lelaki yang juga warganegara India berusia 20-an, dan kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam operasi dengan kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar negeri hari ini, setakat pukul 10.40 pagi tadi, 70 buah lori serta 10 bas telah diperiksa, dan antara kesalahan yang dikesan ialah muatan berlebihan, tayar botak, muatan berbahaya dan kesalahan berkaitan lesen kenderaan.

Ayob berkata dari bulan Jun sehingga 15 Sept lepas, sebanyak 161 operasi sama telah dijalankan di Johor, dan 2,924 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan, manakala 66 kenderaan disita.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top