BM | EN | 中文

Polis Johor keluarkan 129 kompaun pada 1 Syawal

IMG-20200518-WA0008-e1589789787453.jpg

JOHOR BAHRU, 25 MEI: Polis negeri ini mengeluarkan sebanyak 129 kompaun terhadap individu yang bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri pada sambutan Aidilfitri, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut mengarahkan sebuah premis kilang ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB ditetapkan.

“Semalam sahaja, polis telah mengeluarkan sebanyak 129 kompaun RM1,000 selain mengarahkan sebuah premis ditutup kerana tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial.

“Polis telah menjalankan pemeriksaan pematuhan PKPB melibatkan beberapa premis perniagaan dan pejabat, pasar awam dan terminal pengangkutan awam, pusat riadah dan pusat ibadat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan semalam dilakukan pada pagi hari pada waktu sambutan hari raya namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Pihaknya turut memberitahu, polis menerima sebanyak 69 permohonan untuk melakukan perjalanan rentas negeri, semalam.

“Untuk tempoh semalam, kita menerima 69 permohonan rentas negeri, namun hanya 20 daripada permohonan itu yang diluluskan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan tindakan polis memasang takbir raya ketika mengiringi mat rempit yang ditahan sebagai menghina agama Islam.

“Tidak timbul isu menghina agama Islam, kerana takbir itu adalah perkara biasa. Masyarakat sebaliknya perlu mengkritik tindakan mat rempit yang ditahan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian berhubung video tular membabitkan penahanan seramai 47 mat rempit dan penyitaan 26 buah motosikal di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top