BM | EN | 中文

Polis Johor keluar 9,985 saman nombor pendaftaran kenderaan tidak ikut spesifikasi

ayob-khan-polis-johor-1.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 DIS: Polis Johor mengeluarkan 9,985 saman terhadap pemilik kenderaan bagi kesalahan penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ sehingga mengelirukan serta sukar dikenal pasti, sejak awal Januari sehingga hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan mempertingkatkan operasi bagi mengesan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan itu dan kesalahan melanggar lampu isyarat, bermula hari ini sehingga 31 Dis menerusi Op Khas.

Beliau berkata penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ menyukarkan pengecaman sekiranya terdapat kesalahan dilakukan individu termasuk melanggar lampu isyarat, kemalangan, langgar lari dan kes-kes jenayah.

Advertisement

Justeru Ayob Khan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi sama ada terhadap orang awam mahupun anggota polis dan agensi penguat kuasa sekiranya melakukan kesalahan seumpama itu.

“Akan ada lebih banyak operasi dalam dua minggu ini. Bagi sesiapa yang menggunakan nombor ‘fancy’, cepat tukar… jangan sampai kami ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kaunter Pembayaran Saman Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah JBU ACP Rupeah Abd Wahid.

Ayob Khan berkata antara alasan diberikan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi adalah kerana mahukan kelainan, ingin kelihatan bergaya dan mahu menunjukkan status.

Advertisement

Sementara itu, beliau berkata sejak 2000 sehingga 30 Nov lepas, terdapat sejumlah RM9.6 juta saman trafik masih belum dijelaskan.

Katanya, bagi tempoh itu juga sebanyak RM13.39 juta saman telah didaftarkan dengan RM3.6 juta saman telah dijelaskan.

Ayob Khan berkata kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Advertisement

“Kesalahan sejak 2000 sehingga kini adalah banyak, ada 73 peratus lagi masih belum bayar. Di Pontian contohnya, ada individu yang datang ke kaunter saman untuk selesaikan lebih 100 saman…sasaran saya, mahu semua orang bayar (saman),” katanya.

Beliau pada masa sama, menyeru orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan bayaran saman mereka memandangkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor menawarkan diskaun bayaran saman 50 peratus bermula hari ini sehingga 31 Dis, pada pukul 8 pagi sehingga 3.30 petang.

Tambahnya, hari pertama tawaran diskaun hari ini di seluruh Kontijen Johor, pihaknya memperoleh kutipan saman sebanyak RM152,720 melibatkan 1,050 individu.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top