BM | EN | 中文

Polis Johor buru ahli geng 21 terlibat kes samun

polis-johor-geng-21.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 30 SEPT: Polis sedang mengesan seorang ahli kumpulan ‘Geng 21’ yang terlibat dalam satu kejadian samun, cuba membunuh dan melepaskan tembakan di hadapan sebuah pangsapuri dekat Permai Plentong di sini, pada awal Mac lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek merupakan lelaki tempatan dikenali sebagai B Sarjit Singh, 23, dan berasal daripada Kampung Sungai Plentong, di sini.

“Polis Johor menyeru orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung orang dikehendaki ini untuk segera menghubungi pegawai penyiasat atau mana-mana balai polis berdekatan.

Advertisement

“Kami juga ingin menegaskan bahawa polis sentiasa memandang serius kes-kes jenayah berat agar siasatan dan risikan teliti dapat dijalankan dan membawa suspek ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata dalam kejadian pada 8 Mac lepas, seramai tiga suspek Geng 21 yang bersenjatakan sepucuk pistol cuba menyamun empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun yang berada di dalam sebuah kenderaan di hadapan pangsapuri berkenaan.

Suspek yang turut menaiki sebuah kenderaan melanggar belakang kenderaan mangsa dan melepaskan lima das tembakan dan satu das menembusi peha kanan seorang daripada mangsa.

Advertisement

Bagaimanapun, cubaan menyamun itu gagal dan suspek gagal memperoleh sebarang harta atau barang berharga kesemua mangsa.

Menurutnya, susulan daripada itu pihaknya menubuhkan pasukan siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dibantu JSJ Bukit Aman pada 10 Sept lepas yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki berumur 23 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Bagaimanapun, hanya tiga ditahan dan dituduh di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati. Seorang daripada suspek ini juga diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.

Advertisement

Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan di bawah POCA mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan culik, dadah, perjudian dan kegiatan jenayah lain.

Katanya, Geng 21 dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah kekerasan seperti bunuh menggunakan senjata api sejak 2016 dan merupakan antara lapan geng kongsi gelap yang dikenal pasti masih aktif di negeri ini.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top