JOHOR BAHRU, 22 OKT: Polis menahan lapan lelaki dan membongkar satu sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang baru beroperasi seminggu, dalam tiga serbuan berasingan sekitar bandar raya dan Kulai pada 15 dan 19 Okt lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang berumur antara 21 dan 43 tahun itu, disyaki berperanan sebagai pelatih pekerja baharu, yang mengajar teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai penguatkuasa.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa, dan ia aktif dalam merekrut serta memberikan latihan, sebelum individu itu diberi peranan sebagai operator di pusat panggilan ‘Macau Scam’ di dalam dan luar negara termasuk di Kemboja, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu.
“Selain sebagai pengajar, mereka juga dipercayai berperanan menjadi ejen, operator pusat panggilan, pengurus akaun dan penulis skrip yang berpusat di Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polls Kontinjen Johor semalam.
“Mereka diberi tawaran gaji RM3,000 sebulan dan komisen tiga peratus bagi setiap hasil penipuan yang berjaya dilakukan. Kita percaya sindiket ini baharu beroperasi dan yang mereka menjadi ahlinya tidak sempat menerima bayaran gaji seperti yang ditawarkan,” tambahnya.
Ayob Khan berkata hasil siasatan mendapati pekerja baharu yang dilatih akan ditempatkan di beberapa buah unit banglo di bandar raya ini dan Kulai dalam tempoh sebulan, sehingga mereka mahir menyamar sebagai pegawai penguatkuasa.
Terdahulu, beliau dilaporkan Bernama berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan dua lelaki iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai, dipercayai menjadi dalang kepada sindiket berkenaan.
Johorkini