BM | EN | 中文

Polis buru tiga suspek palsu dokumen tukaran mata wang guna nama TMJ

ayob-khan-polis-johor.jpg

Gambar Ehsan FB Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 OKT: Polis Johor sedang memburu tiga individu dipercayai terbabit kes penipuan dokumen tukaran mata wang menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan itu dijalankan selepas menerima satu laporan polis pada Khamis (8 Oktober) berkenaan satu dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika (AS$) kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita warga tempatan yang bergelar Datuk Seri. Wanita ini juga mendakwa telah mendapat mandat daripada Tunku Mahkota Johor untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing AS$ kepada RM bernilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

Advertisement

“Urusan ini juga melibatkan penggunaan akaun sebuah bank komersial di negara ini atas nama seorang lagi lelaki warga tempatan. Siasatan juga mendapati terdapat seorang lagi suspek iaitu lelaki tempatan bertindak sebagai proksi untuk urusan dokumen ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ayob Khan sebagai berkata, hasil semakan melalui laman sesawang www.istiadat.gov.my mendapati suspek wanita yang didakwa bergelar Datuk Seri itu tidak didaftarkan mempunyai gelaran berkenaan.

“Siasatan dijalankan mendapati wanita ini tidak mempunyai gelaran Datuk Seri seperti didakwa, malah merupakan suspek dalam kes penipuan Draf Bank Of Tokyo pada 2011. Selain itu, kita juga dapati suspek seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai proksi adalah seorang peguam.

Advertisement

“Buat masa ini, siasatan masih diteruskan untuk mengesan kesemua suspek terlibat selain mengenal pasti hubungan antara mereka,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebat dan denda.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top