JOHOR BAHRU, 11 MEI: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditahan semalam atas dakwaan melakukan perbuatan cabul terhadap dua anggota sukarelawan polis wanita antara Rabu hingga Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota berusia 55 tahun itu akan dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan.
“Kes cabul membabitkan anggota polis ini dilaporkan berlaku antara 6, 7 dan 8 Mei lalu.
“Individu terlibat telah ditahan dan kertas siasatan telah dibuka. Saya tidak akan bertolak ansur dalam kes seperti ini dan jika didapati bersalah, tindakan akan diambil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Kejadian difahamkan berlaku ketika suspek bersama kedua-dua mangsa bertugas di sebuah balai polis bergerak di Muar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Johorkini