BM | EN | 中文

Polis akan siasat insiden berjoget di konsert ‘Riuh Ek’ di Johor

riuh.png
Advertisement

BATU PAHAT, 6 MAC: Polis akan memulakan siasatan berikutan orang ramai yang berhibur di konsert muzik tanpa penjarakan sosial di tengah-tengah pandemik.

Acara itu dikaitkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kelihatan tanpa SOP penjarakan sosial di tengah-tengah pandemik.

Dalam klip video yang tular sewaktu program di Ayer Hitam, Johor menunjukkan hadirin sedang menari ketika muzik dimainkan, menampilkan versi remix dangdut “Yang Penting Happy” oleh Jamal Mirdad.

Advertisement

Malaysiakini melaporkan, klip video dan gambar-gambar yang tular di Twitter, Facebook dan TikTok itu turut menunjukkan adegan crowd surfing (perbuatan menjulang seseorang dalam acara seperti konsert dan sebagainya).

Konsert “Riuh Ek!” yang diadakan pada Jumaat lepas (4 Mac) merupakan sebahagian daripada program Riuh Keluarga Malaysia oleh kementerian berkenaan yang bertujuan untuk membantu pemulihan industri kreatif yang terkandas akibat wabak Covid-19.

Program itu anjuran MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bertujuan untuk memacu industri kreatif tempatan dan diletakkan bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Advertisement

Menterinya Annuar Musa, yang berada di Johor untuk berkempen untuk BN pada pilihan raya negeri pada hujung minggu itu, turut menghadiri majlis tersebut untuk menyampaikan ucapan.

Pun begitu, suasana kelihatan lebih tenang ketika Annuar, yang juga ahli parlimen Ketereh Umno sedang menyampaikan ucapannya.

‘Tidak harus berlaku’

Advertisement

Sumber dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menyerahkan perkara itu kepada polis dan enggan mengulas lanjut.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya belum menerima laporan mengenai perkara itu tetapi masih akan memulakan siasatan.

“Perkara seumpama itu tidak harus berlaku. Tidak boleh berpesta, ini akan menyebabkan keresahan kepada orang awam dan kita akan menjalankan siasatan serta ambil tindakan kerana sudah tentu (konsert) ini tidak patuh SOP jika mereka berhibur dan sebagainya,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Advertisement

Konsert itu berlangsung di tengah-tengah kempen pilihan raya negeri Johor yang bermula pada 26 Feb.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

scroll to top