BM | EN | 中文

Polio Muncul Semula Selepas 27 Tahun

polio.jpg
Advertisement

Kes polio terakhir di Malaysia ialah pada tahun 1992. Pada tahun 2000, barulah Malaysia diisytiharkan bebas polio.

Setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit polio, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan berasal dari Tuaran, Sabah telah disahkan mengidap penyakit ini.

Kajian mendapati bahawa virus yang menyerang bayi itu berkait dengan virus polio yang merebak di Filipina pada September tahun ini.

Advertisement

Ia hanya boleh merebak apabila virus ini berpindah dari satu individu ke individu lain yang masih belum menerima vaksin.

Siasatan juga mendapati bahawa seramai 23 daripada 199 orang berusia antara dua bulan hingga 15 tahun di kawasan petempatan bayi tersebut masih belum mendapatkan suntikan vaksin polio.

Hanya mereka yang telah mendapatkan vaksin polio sahaja terlindung daripada dijangkiti virus ini. Ahli keluarga yang terbabit juga telah setuju untuk mendapatkan suntikan ini untuk anak-anak mereka setelah dinasihatkan berbuat demikian.

Advertisement

Setakat ini penyakit polio belum boleh diubati melainkan dengan melakukan pencegahan awal secara pengambilan vaksin.

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) turut mengeluarkan saranan agar negara-negara seperti Filipina dan Malaysia meminta penduduknya dan pelancong yang lama menetap untuk mengemukakan bukti pengambilan vaksin polio sebelum ke luar negara.

Situasi ini perlu diambil perhatian serius oleh mereka yang berpendirian anti-vaksin. Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) telah menggariskan panduan pengambilan enam jenis vaksin sejak anak dilahirkan sehingga usia 16 tahun.

Advertisement

Imunisasi kali pertama diamalkan menurut rekod China ialah pada abad ke-10 dalam era Dinasti Song. Kaedah inokulasi digunakan setelah seroang pegawai tertinggi kerajaan kematian anak akibat dijangkiti cacar dan tidak mahu ia merebak di kalangan ahli keluarga lain. Ia tidak diamalkan meluas kecuali setelah era Dinasti Ming pada kurun ke-16.

Dari China, teknik imunisasi ini berkembang ke tamadun lain. Dipercaya ia mula diamalkan di wilayah Osmaniyyah pada kurun ke-17 yang mempelajarinya dari Arab. Teknik ini berkembang sepanjang laluan sutera yang menghubungkan timur dan barat.

Lady Mary, isteri kepada duta Britain yang diutuskan ke Konstantinopel untuk berbincang demi kedamaian bersama Turki Osmaniyyah telah tiba di sana pada tahun 1717.

Advertisement

Mary telah mengidap penyakit cacar sejak dua tahun sebelum itu telah menulis surat kepada rakannya di Nottingham memaklumkan bahawa penyakit cacar yang menular di Britain bukanlah ancaman di Konstantinopel kerana mereka sudah mengamalkan inokulasi.

Mary sedar tindakan inokulasi itu dilarang oleh gereja atas alasan bahawa Tuhan menjadikan penyakit itu sebagai azab atas kesalahan manusia. Lantas, dalam diam dia telah mendapatkan inokulasi untuk anaknya yang berusia enam tahun di Konstantinopel, tanpa pengetahuan suaminya.

Setelah pulang ke England, Mary meminta Dr. Maitland yang merupakan doktor keluarganya di Konstantinopel untuk melakukan inokulasi kepada anak perempuannya yang satu lagi. Ini merupakan kejutan buat sektor perubatan di Eropah yang mengetahuinya pada tahun 1721.

Advertisement

42 tahun selepas itu Dr. Gatti pula memperkenalkan inokulasi di Paris. Akibat daripada pengamalan yang tidak mengikuti prosedur ketat, perintah mahkamah telah menghalang inokulasi.

Pada 1796, Edward Jenner telah berjaya menghasilkan vaksin cacar di England menggunakan virus daripada haiwan berbanding manusia. Namun, golongan paderi menentang kaedah imunisasi ini atas alasan sama seperti sebelumnya.

Kewujudan vaksin membolehkan pencegahan awal penyakit berjangkit ini akhirnya dilihat sebagai suatu cara berkesan. England pun mula memperkenalkan Akta Vaksinasi 1853 untuk mewajibkan pengambilan vaksin oleh bayi hingga berusia tiga bulan. Jika tidak, ibubapa akan dikenakan penalti.

Advertisement

Pembaharuan ini tidak mudah diterima sehingga timbul penentangan yang membentuk gerakan anti-vaksin. Gerakan yang bermula dari Britain ini kemudiannya berkembang hingga ke Amerika.

Tekanan ini akhirnya menyebabkan akta tadi dipinda dengan membuang fasal mengenai penalti bagi mereka yang tidak mengambil vaksin untuk anak-anak.
Pada 1924, dunia telah menemukan vaksin-vaksin baharu sebagai tambahan kepada vaksin cacar.

Vaksin batuk kering (tuberculosis), kejang otot (tetanus), difteria dan cacar air telah ditemukan manakala usaha berterusan dibuat untuk mencipta vaksin polio, demam tifoid, demam selsema (influenza) dan batuk kokol.

Advertisement

Walaupun kejayaan demi kejayaan telah direkodkan, gerakan anti-vaksin masih aktif. Malah mereka mula mengambil tindakan keras memaksa pegawai kesihatan keluar dari bandar Georgetown dengan ancaman bersenjata pada 1926.

Memang diakui pengurusan yang kurang cekap membolehkan virus penyakit berkenaan merebak dengan lebih mudah.

Virus yang diambil daripada sampel penyakit sepatutnya dilemahkan dan diurus dengan prosedur yang ketat, namun kesilapan yang terjadi di California mengakibatkan penyakit polio merebak hingga mengakibatkan kematian pada 1955.

Advertisement

Kesan negatif inilah yang menjadi alasan utama gerakan anti-vaksin. Namun, ia bukanlah situasi yang lazim berlaku dalam penghasilan vaksin.
Malah, kewujudan vaksin telah banyak menyelamatkan masyarakat daripada ancaman penyakit berjangkit seperti campak (measles). Pada tahun 2000, Amerika bebas penyakit campak.

Namun antara 2013 hingga 2015, penyakit ini muncul semula akibat bawaan daripada pesakit yang mengunjungi Amerika Syarikat. Kebanyakan pesakit yang dijangkiti ialah mereka yang tidak mengambil vaksin campak.

Kini situasi sama berlaku pula di Malaysia selepas 27 tahun kita bebas daripada penyakit polio. Pesakit yang dijangkiti juga tidak mengambil vaksin dan kini keluarga yang tinggal berhampiran dengannya sudah menerima kepentingan pengambilan vaksin.

Advertisement

Maka, diharapkan golongan anti-vaksin memahami situasi ini dengan pandangan yang lebih terbuka kerana kepentingan kesihatan masyarakat keseluruhannya adalah perhatian utama kerajaan.

RUJUKAN

1) https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/12/08/polio-case-reported-in-malaysia–first-in-27-years
2) https://www.who.int/csr/don/24-september-2019-polio-outbreak-the-philippines/en/
3) https://wwwnc.cdc.gov/travel/notices/alert/polio-asia
4) https://europepmc.org/backend/ptpmcrender.fcgi?accid=PMC281588&blobtype=pdf
5) https://measlesrubellainitiative.org/anti-vaccination-movement/

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top