BM | EN | 中文

PN tak tunggu BN, rundingan bahagi kerusi dibuat minggu depan – Muhyiddin

muhyiddin_perikatan-nasional.jpg

Gambar Ehsan The Malay Mail

Advertisement

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada Umno atau Barisan Nasional (BN).

“Kami belum terima apa-apa makluman daripada Umno atau BN untuk berbincang mengenai peruntukan pembahagian kerusi. Kita belum pasti hala tuju Umno ke hadapan dan belum ada satu pernyataan jelas daripada pimpinan Umno atau BN.

Advertisement

“Tapi realitinya dalam kerajaan, kita adalah bersama. Kalau kita hendak tunggu parti lain buat keputusan dan pendirian, ia akan ganggu urusan PRU yang hendak diatur oleh PN,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru Presiden Bersatu itu berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi akan dijalankan dalam kalangan parti Bersatu, PAS dan Gerakan bagi Semenanjung Malaysia manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di Sabah.

Muhyiddin berkata ia adalah antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini selain mencapai keputusan untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept lepas.

Advertisement

Beliau berkata PN akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari semasa ke semasa mengenai pelaksanaan MoU berkenan.

Katanya beliau juga akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyampaikan pendirian PN berhubung jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang akan dipilih dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.

Muhyiddin seterusnya memberitahu majlis pelancaran rasmi PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada bulan November ini, dengan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah.

Advertisement

Beliau berkata mesyuarat juga memutuskan pelantikan Saiful Adli Mohd Arshad sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa esok.

Katanya mesyuarat Tertinggi PN juga membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda selaras dengan pelaksanaan Undi18 dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi muda.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top